Pengumuman !

Selamat Datang Ke Laman Web Masjid Darussalam Puchong. #Untuk memberi sumbangan kepada Masjid Darussalam Puchong boleh masukkan ke No Akaun Bank Al Rajhi 12700 1881 4705 77. Sila SMS/maklumkan kpd Tuan Nazir () diatas apa-apa sumbangan yang dibuat untuk tujuan pengurusan.

Selasa, 11 Oktober 2016

KOMPLEKS SERBAGUNA MASJID DARUSSALAM SIRI 1


Kompleks Serbaguna Masjid Darussalam terletak di bahagian hadapan masjid dan telah mula dibina pada awal bulan September 2015. Tujuan utamanya adalah untuk menyediakan kemudahan kepada masyarakat islam di sekitar kariah Masjid Darussalam dalam aktiviti kemasyarakatan dan pengajian agama dan Al-Quran. Antara kemudahan yang telah dan sedang disediakan adalah:
  • Dewan Serbaguna
  • Dapur Moden
  • Tiga (3) unit Ruang Inapan Pelbagai Guna
  • Bilik Pejabat Penolong Pendaftar Nikah
  • Bilik Kaunseling & Muallaf Center
  • Pondok Mengaji/Balai Ilmu
  • Koperasi/Pusat Makanan Halal
  • Stor 
Sebelum ini tapak sedia ada adalah merupakan bangunan satu tingkat yang mempunyai dua (2) unit rumah sewa dan bilik pengajian Al-Quran. Ia telah dibina sekitar tahun 1990an secara gotong royong oleh penduduk kampung.

Gambar di atas menunjukkan bangunan yang sedia ada sebelum dirobohkan

Status pembinaan setakat hari ini (11 Oktober 2016) adalah dalam lingkungan 93%. Sebanyak RM391,085.83 telah dibelanjakan untuk pembinaan kompleks ini di mana sejumlah RM80,019.00 atau 20% diperolehi daripada sumbangan orang ramai melalui Tabung Wakaf Khas Pembangunan. Dukacita dimaklumkan progres pembinaan terpaksa ditangguh/diperlahankan walaupun hampir siap kerana dana yang tidak mencukupi.

Kebanyakan kerja yang belum siap adalah melibatkan Tingkat 2 Kompleks Serbaguna. Antara skop kerjanya adalah pemasangan 'tile', pendawaian elektrik, pemasangan siling, pintu, tandas dan tangga. Kerja yang masih belum selesai di tingkat bawah pula adalah pemasangan 'roller shutter' dapur kering, penghawa dingin Dewan Serbaguna dan rak di dalam stor dapur.








Gambar di Tingkat 2 Kompleks Serbaguna yang masih belum siap.

Baki kos yang diperlukan untuk menyiapkan keseluruhan kompleks ini dianggarkan dalam lingkungan RM40-50 ribu ringgit. Diharap masih ada lagi penyumbang-penyumbang di luar sana yang boleh mewakafkan sedikit wang, bahan binaan atau lain-lain untuk menyiapkan kompleks ini. Semoga amal jariah tuan-tuan dan puan-puan menjadi bekalan di akhirat kelak.

Tidak lupa, pihak kami  ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ahli Parlimen Puchong, YB Gobind Singh Deo, Dato'Abdul Hamid Bin Musa dan tuan-puan para pewakaf yang pemurah yang telah membantu kami dari segi kewangan. Kepada bakal penderma/pewakaf, tuan-puan boleh menyalurkan sumbangan terus kepada Bendahari Masjid, En Mohamad Najib bin Hj Norawi (011-36532814) atau membuat online banking ke akaun Masjid Darussalam. Bank Al-Rajhi 12700 1881 1470 577.

Insha Allah dalam siri yang seterusnya, akan dipaparkan aktiviti dan pengimarahan yang telah dilaksanakan di Kompleks Serbaguna ini.

Isnin, 3 Oktober 2016

MAJLIS MAAL HIJRAH 1438H












Dengan segala hormatnya Nazir, Pegawai dan Seluruh Ahli Jawatankuasa Masjid Darussalam Puchong menjemput Dato’ / Datin / Tuan / Puan / Encik / Cik ke Majlis Maal Hijrah Masjid Darussalam seperti berikut:


Tarikh: 2 Oktober 2016, Ahad
Masa: Selepas Maghrib
Alamat: Masjid Darussalam, Batu 13 1/2 Jalan Puchong, 47100 Puchong, Selangor
7:30 malam – Solat Maghrib Berjemaah
7:45 malam – Ceramah Maal Hijrah oleh YBhg Ustaz Mahyudin Asyaari
8:45 malam - Solat Isyak Berjemaah
9.00 malam – Jamuan Makan Bertalam
10.00 malam – Bersurai
Moga dengan kehadiran Dato’ / Datin / Tuan / Puan / Encik / Cik akan memeriahkan lagi majlis ini.

KARNIVAL SUKAN MASJID DAERAH PETALING 2016

Buat julung-julung kalinya, Masjid Darussalam telah dijemput untuk menyertai Karnival Sukan Masjid yang dianjurkan oleh Unit Pengurusan Masjid Pejabat Agama Islam Daerah Petaling pada 1 Oktober 2016 yang lalu bertempat di Frenzy Sport Center, Seksyen 16, Shah Alam.

Pihak masjid telah menghantar pasukan badminton lelaki (perseorangan dan beregu) serta futsal. Agak menghampakan kerana penyertaan bowling telah ditolak kerana telah penuh. Untuk makluman, pihak masjid hanya boleh menghantar satu pasukan sahaja untuk setiap kategori. Pengurus pasukan untuk karnival tersebut adalah Imam Mohd Azrul Fitri.

Dalam sukan badminton, wakil perseorangan lelaki iaitu saudara Faez Sulaiman telah berjaya mara ke suku akhir. Beliau telah kalah kepada wakil Masjid Seksyen 7, Shah Alam yang telah berjaya menjadi Johan Perseorangan Badminton buat kali ini.

Untuk kategori beregu pula, wakil masjid yang merupakan johan dan semi finalist Kejohanan Badminton Masjid Darussalam pada bulan Mei yang lalu iaitu saudara Rudy Izhar dan Zulkifli Wahab tidak bernasib baik kerana telah diundi dalam kumpulan maut. Mereka menang 3 perlawanan dan kalah 2 di mana kekalahan tersebut  adalah kepada Johan dan Naib Johan Beregu Lelaki untuk edisi kali ini. Walau bagaimanapun mereka memberi tentangan yang sengit kepada Johan dengan mata 28-30 di peringkat kumpulan. Hanya 2 beregu teratas dari setiap kumpulan yang layak ke peringkat suku akhir.

Pasukan futsal pula mengalami nasib yang berbeza, walaupun menjadi Johan Kumpulan B dengan 2 kemenangan dan 2 seri, pada peringkat suku akhir pasukan futsal telah kalah kepada wakil Masjid Al-Ubudiah, Seksyen 19 Shah Alam dengan jaringan 1-3. Keputusan peringkat kumpulan adalah seperti berikut:

Masjid Darussalam 2 - 2 Masjid Ridhwani, Sg Way
Masjid Darussalam 0 - 0 Masjid Riadhus Solihin, Seksyen 17
Masjid Darussalam 3 - 0 Masjid Al-Mukminun USJ 2
Masjid Darussalam 2 - 1 Masjid As Salam Puchong Perdana

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua wakil MDSP yang telah berusaha memberikan yang terbaik pada Karnival Sukan Masjid kali ini. Jumpa lagi di edisi yang seterusnya Insha Allah.

Saudara Faez Sulaiman (baju pink sebelah kiri) sedang tekun mendengar taklimat umpire 
Wakil Beregu Lelaki. Saudara Zulkifli Wahab dan Rudy Izhar


Jadual dan Keputusan Perlawanan Futsal
Atas kiri: Naufal, Izzul Fahmi, Khairul Iswadi, Imam Azrul
Bawah kiri: Hafiz Hamzah, Rozali Saad (Kapten), Azrol Ahmad

Perlawanan pertama menentang Masjid Ridwani Sg Way
Pemain sedang bersalaman sebelum bermula perlawanan suku akhir

Tahniah diucapkan kepada Masjid Seksyen 7 Shah Alam yang menyapu bersih pertandingan badminton dan futsal daerah Petaling, Semoga tuan-tuan dapat meneruskan kejayaan ini di peringkat negeri nanti.




Isnin, 26 September 2016

KARNIVAL KAMPUNGKU KESAYANGANKU



Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa & Kampung Tradisi telah menganjurkan Karnival Kampungku Kesayanganku pada 23 & 24 September 2016. Pelbagai program telah dilaksanakan di sekitar Puchong seperti di Masjid Istiqamah Kg Batu 13, Kg Seri Aman, Maahad Tahfiz Aman Bestari, Puchong Batu 14 dan lokasi utama bertempat di Masjid As Salam Puchong Perdana.

Masjid Darussalam telah menjadi tempat persinggahan rombongan exco untuk solat fardhu Asar. Rombongan tersebut disertai oleh Yang Berhormat Dato' Dr Ahmad Yunos Bin Hairi (EXCO Kerajaan Negeri Selangor), Yang Berhormat  Puan Noor Hanim Binti Ismail (ADUN Sri Serdang),  Tn Hj Zulkurnain bin Che Ali (Timbalan Yang DiPertua MPSJ), En Nasir bin Mamat (KPPD Pembangunan PD/TP), para pegawai MPSJ, Pejabat Daerah/Tanah Petaling, pegawai JKR dan lain-lain.

Pihak masjid telah menyediakan minum petang dan sedikit ole-ole kepada para rombongan yang nampaknya agak keletihan setelah seharian berprogram. Dalam pada itu, Timbalan Nazir, Dr Latip Muhammad mengambil kesempatan berbincang dengan YB dan pegawai yang hadir tentang aktiviti dan program Masjid Darussalam serta pembangunan Kompleks Serbaguna MDSP. Pihak masjid mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada YB dan agensi terlibat. Terima kasih kepada YB dan ahli rombongan kerana sudi singgah di masjid kami.

Kelihatan rombongan baru sampai ke masjid. 

 YB Dato' Yunos dan rombongan lelaki selesai menunaikan solat asar
Dr Latip memberi penerangan kepada YB Dato dan En Nasir tentang Masjid Darussalam
YB Dato' ambil minuman sendiri diperhatikan oleh Timbalan Nazir 
Imam Azrul memberikan cenderahati kepada En Nasir, Duduk dari kiri: Dr Latip, Imam Marjumin, (Mantan Imam 1) , En Nasir bin Mamat, YB Dato Dr Ahmad Yunos,Tn Hj Zulkurnain bin Che Ali
Duduk baris hadapan sebelah kiri. Ustaz Ibrahim yang juga merupakan penceramah kuliah bulanan hadis di MDSP
Lawatan di Tingkat Atas Kompleks Serbaguna
Dari kiri: Hj Baharom Abd Ghani, Wak Danuri, Arman Ali, Hashim Dahalan & Hj Rashid. Antara jemaah tetap masjid yang turut memeriahkan majlis. 

Pegawai & Ahli Jawatankuasa Masjid Darussalam bergambar kenangan dengan YB Dato Yunos, YB Hanim dan ahli rombongan. Turut kelihatan Ustaz Asri, Ketua Kg Sri Aman Puchong. 

Rabu, 14 September 2016

IBADAH KORBAN HARI RAYA AIDIL ADHA 1437H

Pada 12 September 2016 bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1437H, pegawai, jawatankuasa masjid serta ahli kariah dari segenap lapisan masyarakat telah bergotong-royong menyempurnakan ibadah korban di Masjid Darussalam. Sebanyak 14 ekor lembu (satu ekor lembu masing-masing telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan) dan 7 ekor kambing telah disembelih pada hari tersebut. Tiga orang penyembelih yang bertugas adalahTuan Nazir, Imam Azrul dan Bilal Amirul.

Alhamdulillah ia merupakan tahun terbanyak binatang korban disembelih di masjid ini di mana pada tahun-tahun sebelumnya, jumlah lembu korban adalah dalam lingkungan 7 ke 8 ekor. Inisiatif pihak masjid untuk memperkenalkan Skim Ansuran Korban yang bermula pada bulan November 2015 juga membuahkan hasil kerana sebanyak 16 peserta telah menyertai skim tersebut. Baki peserta sebanyak 30 orang pula telah menjelaskan bayaran selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh akhir.

Pada tahun ini juga, pembahagian kupon secara teratur telah dibuat. Ketua-ketua lorong telah dilantik untuk memastikan kupon daging korban sampai ke tangan ahli kariah. Sebanyak 1.2 tan daging lembu dan kambing telah diagihkan pada hari tersebut yang meliputi Kg Pasir Baharu, Perumahan PKNS, Taman Puchong Hartamas, Taman Puchong Utama 3, Pangsapuri Beringin dan lain-lain.

Malam sebelum itu pula, sukarelawan lelaki yang diketuai oleh Tuan Nazir, En Musleh telah memasak lauk daging masak kicap dan daging kari. Sukarelawan wanita pada sebelah paginya pula telah memasak sup daging di mana semua menu ini telah dimasak untuk jamuan makan tengah hari jemaah yang hadir ke masjid pada hari tersebut. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua sukarelawan yang terlibat yang bekerjasama menjayakan ibadah ini walaupun hujan turun mencurah-curah di awal pagi.

Semoga ibadah korban yang dilakukan oleh setiap peserta diterima oleh Allah SWT dan ukhuwah yang terjalin bertambah erat. Insha Allah.





 Gambar dua hari sebelum Hari Raya Aidil Adha. Gotong-royong membersihkan kawasan dan pemasangan khemah daripada MPSJ

Seekor lembu sumbangan Kerajaan Negeri telah disembelih sehari sebelum untuk jamuan.

P/S Tiada gambar pada 12 September kerana semua sibuk sehingga terlupa mengambil gambar :)

Selasa, 26 Julai 2016

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI


Dengan segala hormatnya Nazir, Pegawai dan Seluruh Ahli Jawatankuasa Masjid Darussalam Puchong menjemput Dato’ / Datin / Tuan / Puan / Encik / Cik ke Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri & Program Palestin Masjid Darussalam seperti berikut:

Tarikh: 29 Julai 2016, Jumaat
Masa: Selepas Maghrib
Alamat: Masjid Darussalam, Batu 13 1/2 Jalan Puchong, 47100 Puchong, Selangor
7:30 malam – Solat Maghrib Berjemaah
7:45 malam – Kuliah Isu Terkini Palestin & Syria oleh YBhg Ustaz Muhd Farham Muhd Fadhil (NGO Aman Palestin) ~ Tabung Derma & Jualan Amal Disediakan
8:45 malam - Solat Isyak Berjemaah
9.00 malam – Jamuan Raya Aidil Fitri
10.00 malam – Bersurai
Moga dengan kehadiran Dato’ / Datin / Tuan / Puan / Encik / Cik akan memeriahkan lagi majlis ini.

Sabtu, 2 Julai 2016

PROGRAM DAPUR MASJID

Bertempat di Kompleks Serbaguna Masjid Darussalam pada 2 Julai 2016, satu program masak memasak diadakan untuk kaum wanita. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan tentang penyediaan masakan hari raya seperti serunding daging, sambal jawa, kerabu taugeh, kicap kerisik dan kuah kacang berdaging.

Peserta seramai 26 orang hadir sejak jam 8:30 pagi lagi. Chef yang mengajar cara penyediaan makanan tersebut adalah Nazir Masjid Darussalam, En Mohd Musleh bin Yunos. Tidak ramai yang mengetahui bahawa beliau mempunyai kepakaran dalam memasak makanan kenduri dalam skala besar. Di akhir program, setiap peserta akan membawa pulang setiap hidangan yang dimasak iaitu sebanyak lima (5) hidangan kesemuanya termasuk ketupat dan nasi impit untuk bekalan berbuka puasa nanti.

Program ini dirasmikan oleh Yang Dihormati Ketua Kampung, Tn Hj Sharif bin Hj Iskandar. Beliau berasa gembira dengan inisiatif yang dilakukan oleh pihak masjid iaitu yang julung-julung kali diadakan di kawasan Puchong dan berharap program sebegini dapat dicontohi oleh masjid-masjid lain.

Ketua Kg, Tn Hj Sharif diiringi oleh Nazir dan barisan jawatankuasa

Bahagian Dapur Kompleks Serbaguna MDSP dirasmikan oleh Ketua Kg

BAGUS

Chef sedang memulakan tugas. Peserta memberi tumpuan penuh

Penyediaan serunding daging

Kacau jangan tak kacau Tn Hj


Ketua Kg sempat meninjau ruang bilik yang siap di sebelah dapur
Dari kiri: Dr Latip, Ketua Kg, Nazir, En Ramly (Pengerusi Biro Teknikal), En Najib (Bendahari)

Timbalan Nazir tidak melepaskan peluang mengacau serunding

Kaum Wanita sedang sibuk menyediakan barang asas masakan

Ini bukan lakonan :) Tiga orang kuat Masjid Darussalam memang pandai menganyam ketupat. Orang jawa kesemuanya.

Memotong bawang

Sambil kerja sambil posing isteri Nazir (Pn Samiah) dan Ketua Biro Jenazah Wanita (Pn Norfaizah)
Gambar Tengah: Isteri Imam Azrul memotong bawang bersama ibunya. Imam harini jadi jurugambar separa profesional
Rempah Ratus yang telah siap diblender


Wakil Wanita Masjid Darussalam (Pn Zaini) sedang menggoreng kacang 

Dengar betul-betul. Banyak petua boleh belajar ni. :)
Kompleks Serbaguna yang hampir 92% siap