Pengumuman !

Selamat Datang Ke Laman Web Masjid Darussalam Puchong. #Untuk memberi sumbangan kepada Masjid Darussalam Puchong boleh masukkan ke No Akaun Bank Al Rajhi 12700 1881 4705 77. Sila SMS/maklumkan kpd Tuan Nazir () diatas apa-apa sumbangan yang dibuat untuk tujuan pengurusan.

Selasa, 11 Oktober 2016

KOMPLEKS SERBAGUNA MASJID DARUSSALAM SIRI 1


Kompleks Serbaguna Masjid Darussalam terletak di bahagian hadapan masjid dan telah mula dibina pada awal bulan September 2015. Tujuan utamanya adalah untuk menyediakan kemudahan kepada masyarakat islam di sekitar kariah Masjid Darussalam dalam aktiviti kemasyarakatan dan pengajian agama dan Al-Quran. Antara kemudahan yang telah dan sedang disediakan adalah:
  • Dewan Serbaguna
  • Dapur Moden
  • Tiga (3) unit Ruang Inapan Pelbagai Guna
  • Bilik Pejabat Penolong Pendaftar Nikah
  • Bilik Kaunseling & Muallaf Center
  • Pondok Mengaji/Balai Ilmu
  • Koperasi/Pusat Makanan Halal
  • Stor 
Sebelum ini tapak sedia ada adalah merupakan bangunan satu tingkat yang mempunyai dua (2) unit rumah sewa dan bilik pengajian Al-Quran. Ia telah dibina sekitar tahun 1990an secara gotong royong oleh penduduk kampung.

Gambar di atas menunjukkan bangunan yang sedia ada sebelum dirobohkan

Status pembinaan setakat hari ini (11 Oktober 2016) adalah dalam lingkungan 93%. Sebanyak RM391,085.83 telah dibelanjakan untuk pembinaan kompleks ini di mana sejumlah RM80,019.00 atau 20% diperolehi daripada sumbangan orang ramai melalui Tabung Wakaf Khas Pembangunan. Dukacita dimaklumkan progres pembinaan terpaksa ditangguh/diperlahankan walaupun hampir siap kerana dana yang tidak mencukupi.

Kebanyakan kerja yang belum siap adalah melibatkan Tingkat 2 Kompleks Serbaguna. Antara skop kerjanya adalah pemasangan 'tile', pendawaian elektrik, pemasangan siling, pintu, tandas dan tangga. Kerja yang masih belum selesai di tingkat bawah pula adalah pemasangan 'roller shutter' dapur kering, penghawa dingin Dewan Serbaguna dan rak di dalam stor dapur.








Gambar di Tingkat 2 Kompleks Serbaguna yang masih belum siap.

Baki kos yang diperlukan untuk menyiapkan keseluruhan kompleks ini dianggarkan dalam lingkungan RM40-50 ribu ringgit. Diharap masih ada lagi penyumbang-penyumbang di luar sana yang boleh mewakafkan sedikit wang, bahan binaan atau lain-lain untuk menyiapkan kompleks ini. Semoga amal jariah tuan-tuan dan puan-puan menjadi bekalan di akhirat kelak.

Tidak lupa, pihak kami  ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ahli Parlimen Puchong, YB Gobind Singh Deo, Dato'Abdul Hamid Bin Musa dan tuan-puan para pewakaf yang pemurah yang telah membantu kami dari segi kewangan. Kepada bakal penderma/pewakaf, tuan-puan boleh menyalurkan sumbangan terus kepada Bendahari Masjid, En Mohamad Najib bin Hj Norawi (011-36532814) atau membuat online banking ke akaun Masjid Darussalam. Bank Al-Rajhi 12700 1881 1470 577.

Insha Allah dalam siri yang seterusnya, akan dipaparkan aktiviti dan pengimarahan yang telah dilaksanakan di Kompleks Serbaguna ini.

Isnin, 3 Oktober 2016

MAJLIS MAAL HIJRAH 1438H












Dengan segala hormatnya Nazir, Pegawai dan Seluruh Ahli Jawatankuasa Masjid Darussalam Puchong menjemput Dato’ / Datin / Tuan / Puan / Encik / Cik ke Majlis Maal Hijrah Masjid Darussalam seperti berikut:


Tarikh: 2 Oktober 2016, Ahad
Masa: Selepas Maghrib
Alamat: Masjid Darussalam, Batu 13 1/2 Jalan Puchong, 47100 Puchong, Selangor
7:30 malam – Solat Maghrib Berjemaah
7:45 malam – Ceramah Maal Hijrah oleh YBhg Ustaz Mahyudin Asyaari
8:45 malam - Solat Isyak Berjemaah
9.00 malam – Jamuan Makan Bertalam
10.00 malam – Bersurai
Moga dengan kehadiran Dato’ / Datin / Tuan / Puan / Encik / Cik akan memeriahkan lagi majlis ini.

KARNIVAL SUKAN MASJID DAERAH PETALING 2016

Buat julung-julung kalinya, Masjid Darussalam telah dijemput untuk menyertai Karnival Sukan Masjid yang dianjurkan oleh Unit Pengurusan Masjid Pejabat Agama Islam Daerah Petaling pada 1 Oktober 2016 yang lalu bertempat di Frenzy Sport Center, Seksyen 16, Shah Alam.

Pihak masjid telah menghantar pasukan badminton lelaki (perseorangan dan beregu) serta futsal. Agak menghampakan kerana penyertaan bowling telah ditolak kerana telah penuh. Untuk makluman, pihak masjid hanya boleh menghantar satu pasukan sahaja untuk setiap kategori. Pengurus pasukan untuk karnival tersebut adalah Imam Mohd Azrul Fitri.

Dalam sukan badminton, wakil perseorangan lelaki iaitu saudara Faez Sulaiman telah berjaya mara ke suku akhir. Beliau telah kalah kepada wakil Masjid Seksyen 7, Shah Alam yang telah berjaya menjadi Johan Perseorangan Badminton buat kali ini.

Untuk kategori beregu pula, wakil masjid yang merupakan johan dan semi finalist Kejohanan Badminton Masjid Darussalam pada bulan Mei yang lalu iaitu saudara Rudy Izhar dan Zulkifli Wahab tidak bernasib baik kerana telah diundi dalam kumpulan maut. Mereka menang 3 perlawanan dan kalah 2 di mana kekalahan tersebut  adalah kepada Johan dan Naib Johan Beregu Lelaki untuk edisi kali ini. Walau bagaimanapun mereka memberi tentangan yang sengit kepada Johan dengan mata 28-30 di peringkat kumpulan. Hanya 2 beregu teratas dari setiap kumpulan yang layak ke peringkat suku akhir.

Pasukan futsal pula mengalami nasib yang berbeza, walaupun menjadi Johan Kumpulan B dengan 2 kemenangan dan 2 seri, pada peringkat suku akhir pasukan futsal telah kalah kepada wakil Masjid Al-Ubudiah, Seksyen 19 Shah Alam dengan jaringan 1-3. Keputusan peringkat kumpulan adalah seperti berikut:

Masjid Darussalam 2 - 2 Masjid Ridhwani, Sg Way
Masjid Darussalam 0 - 0 Masjid Riadhus Solihin, Seksyen 17
Masjid Darussalam 3 - 0 Masjid Al-Mukminun USJ 2
Masjid Darussalam 2 - 1 Masjid As Salam Puchong Perdana

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua wakil MDSP yang telah berusaha memberikan yang terbaik pada Karnival Sukan Masjid kali ini. Jumpa lagi di edisi yang seterusnya Insha Allah.

Saudara Faez Sulaiman (baju pink sebelah kiri) sedang tekun mendengar taklimat umpire 
Wakil Beregu Lelaki. Saudara Zulkifli Wahab dan Rudy Izhar


Jadual dan Keputusan Perlawanan Futsal
Atas kiri: Naufal, Izzul Fahmi, Khairul Iswadi, Imam Azrul
Bawah kiri: Hafiz Hamzah, Rozali Saad (Kapten), Azrol Ahmad

Perlawanan pertama menentang Masjid Ridwani Sg Way
Pemain sedang bersalaman sebelum bermula perlawanan suku akhir

Tahniah diucapkan kepada Masjid Seksyen 7 Shah Alam yang menyapu bersih pertandingan badminton dan futsal daerah Petaling, Semoga tuan-tuan dapat meneruskan kejayaan ini di peringkat negeri nanti.