Pengumuman !

Selamat Datang Ke Laman Web Masjid Darussalam Puchong. #Untuk memberi sumbangan kepada Masjid Darussalam Puchong boleh masukkan ke No Akaun Bank Al Rajhi 12700 1881 4705 77. Sila SMS/maklumkan kpd Tuan Nazir () diatas apa-apa sumbangan yang dibuat untuk tujuan pengurusan.

Ahad, 23 Julai 2017

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri

Pada 22 Julai 2017, Masjid Darussalam telah mengadakan Majlis Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidil Fitri dan Majlis Perasmian Kompleks Darul Hikmah untuk semua ahli kariah. Pelbagai program telah diadakan pada hari tersebut. Ia dimulakan dengan Solat Fardhu Maghrib berjemaah. Selepas itu jemaah dan para tetamu telah disajikan dengan santapan rohani daripada Al-Fadhil Ustaz Azhar Tuarno sehingga waktu isyak.

Selepas solat fardhu isyak pula, Tn Nazir, Mohd Musleh bin Yunos telah menjemput semua jemaah untuk bersama-sama ke Kompleks Serbaguna Darul Hikmah. Dengan lafaz bismillah, Dato' Ketua Kampung, Tn Hj Mohd Shariff bin Iskandar telah merasmikan Kompleks Darul Hikmah yang telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada bulan ini. Pembinaan kompleks serbaguna ini telah dimulakan pada akhir tahun 2015 dan telah memakan belanja sebanyak RM590,213.46, semuanya hasil derma dan sumbangan ikhlas orang ramai.

Semua jemaah masjid dan tetamu dijemput untuk melihat setiap rumah dan balai mengaji di tingkat 1. Setiap tetamu berpeluang untuk memenangi cabutan bertuah sekiranya naik ke tingkat tersebut. Insha Allah pihak masjid akan mula membuka sewaan dua unit rumah homestay tersebut mulai bulan hadapan.  Di setiap rumah, pihak masjid menyediakan borang kaji selidik kepada tetamu yang hadir untuk menentukan jumlah sewa yang patut dikenakan. 

Selepas selesai berjalan dan melihat-lihat setiap rumah dan balai mengaji, semua tetamu dijemput untuk menjamu selera di ruang legar masjid dan Kafe Darussalam. Alhamdulillah tidak kurang dari 500 orang tetamu dan keluarga masing-masing hadir ke majlis ini. Pelbagai lauk pauk telah disediakan seperti nasi impit, kuah kacang, bihun dan sup tulang, rendang ayam, ayam dan daging bakar, lemang, mee goreng basah spesial, roti jala, kari ayam, roti canai, aiskrim dan pelbagai kuih-muih. 

Pihak pengurusan masjid ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pegawai, ahli jawatankuasa dan sukarelawan yang bertugas di samping bergotong-royong menyiapkan juadah kepada para tetamu.Tidak lupa juga kepada para tetamu sekalian yang sudi hadir ke majlis rumah terbuka ini. 


Tn Nazir mengetuai bacaan selawat sebelum majlis perasmian dimulakan

Dato' Ketua Kampung memotong reben perasmian kompleks


Dari kiri, Dr Latip, En Wan Shukri (Nazir Masjid Bandar Bukit Puchong), Dato' Hj Mohd  Shariff, Tn Nazir, Imam Abdul Rahman


Ahli kariah melihat rumah/homestay di tingkat 1

Keadaan di Balai Mengaji, ole-ole berupa muffin dan gula-gula untuk para tetamu

Siapalah yang dapat hadiah cabutan bertuah ni :)

Dato' Shariff melihat barang keperluan yang dijual di Souq

Tidak lupa gerai roti canai, ditebar panas2

Para belia yang bersama-sama menyediakan ayam dan daging panggang

Suasana di Kafe Darussalam
Adik-adik tak sabar nak makan aiskrim. Beratur 1 2 3
Video yang sempat dirakam semasa ahli kariah sedang membuat 'tour' di tingkat 1