Pengumuman !

Selamat Datang Ke Laman Web Masjid Darussalam Puchong. #Untuk memberi sumbangan kepada Masjid Darussalam Puchong boleh masukkan ke No Akaun Bank Al Rajhi 12700 1881 4705 77. Sila SMS/maklumkan kpd Tuan Nazir () diatas apa-apa sumbangan yang dibuat untuk tujuan pengurusan.

Latar Belakang


PENDAHULUAN

Masjid Darussalam telah dibina di atas tapak seluas 1,295 meter persegi yarig terletak di Kampung Pasir Baharu Puchong. Masjid ini berkeluasan 557 meter persegi dan terletak di antara Kampung Pasir Baharu dan Perumahan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor PKNS di Batu 13 1/2 Puchong. 

Masjid ini boleh menampung jemaah seramai 1,500 orang dalam satu-satu masa. lanya dibina sebagai pusat ibadat, pusat perkembangan ilmu dan pusat pembangunan komuniti kepada masyarakat sekitar Kg Pasir Baharu dan Perumahan PKNS, Puchong. 

Masjid ini sering mendapat jolokan sebagai Masjid Kecil Molek berkelengkapan penghawa dingin dalam kalangan jemaah yang singgah.

SEJARAH DAN LATAR BELAKANG 


Pada awal tahun 1970an, sejajar dengan perkembangan sosio budaya dan politik negara pada ketika itu, penempatan Kg Pasir Baharu telah mula dibuka sebagai penempatan/ kampung tersusun yang menjamin penduduknya tinggal aman dan bebas daripada ancaman keselamatan anasir subversif pada ketika itu. Kebanyakan daripada penduduk asal kampung ini adalah terdiri daripada para  pekerja lombong yang bekerja di sekitar kawasan Puchong.



Kampung Pasir Baharu terus berkembang dengan adanya projek perumahan PKNS yang dibina di kawasan ini. Justeru itu, pertambahan penduduk yang beragama Islam telah berkembang pesat dan keperluan tempat ibadat / surau menjadi keperluan  sangat mendesak. 

Hasil pemuafakatan penduduk kampung yang diketuai oleh En Sarhadat bin Baharuddin mereka telah bersepakat untuk membina sebuah surau bagi memudahkan  penduduk setempat menunaikan solat lima waktu dan menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan.  Beliau dan beberapa orang penduduk kampung telah berurusan dengan Pejabat Tanah Daerah Petaling  beberapa kali untuk memohon sebidang tanah bagi  pembinaan surau tersebut.

Berbicara tentang sejarah penubuhan surau ini nama En Sarhadat tidak dapat dipisahkan. Beliau merupakan penggerak utama dan penyumber idea yang sangat penting penubuhan surau ini. Beliau adalah juga merupakan Pengetua pertama di SMK Puchong iaitu dari Tahun 1975-1979.

Berkat usaha bersungguh-sungguh pelbagai pihak, permohonan  pembinaan Surau Kampung Pasir Baharu telah diluluskan oleh  Pejabat Tanah Petaling pada awal tahun 1970an.  Setelah kelulusan diperoleh, pembinaan surau kayu  telah dimulakan pada pertengahan tahun 1970an. Pembinaan surau tersebut dilaksanakan secara gotong royong dan kos pembinaannya hasil sumbangan penduduk setempat. 

Hasil titik peluh masyarakat setempat, surau tersebut berjaya dibangunkan dan diberi nama SURAU KAMPUNG PASIR BAHARU PUCHONG. Kapasiti surau tersebut boleh menampung jemaah seramai 70 orang dalam satu-satu masa. Sejajar dengan peredaran masa, surau yang asalnya kayu dan bertiang telah diubahsuai menjadi bangunan separuh batu. Surau separuh batu ini telah mengukir jasa menjadi pusat pembersatu masyarakat setempat dan menjana perkembangan ilmu komuniti sekitar 70an sehingga tahun 90an. 

Sejajar dengan perkembangan pesat Puchong sebagai sebagai laman kepada Pusat Bandar Bestari Putrajaya,  pada tahun 1997, Pegawai dan ahli jawatankuasa surau yang Pengerusinya Tn Hj Zakaria bin Mat Akil membuat keputusan  untuk membina bangunan surau yang sepenuhnya batu dan lebih moden serta luas untuk menampung pertambahan jemaah. Walaupun cadangan tersebut mendapat halangan  segelintir penduduk yang bimbangkan pembangunan surau baru terbengkalai dan boleh menjejaskan aktiviti solat berjemaah. 

Berkat komitmen kental jawatankuasa utama, cadangan pembangunan surau baru diteruskan dengan berasaskan perancangan tersusun mengikut progres pembangunan (carta gantt) yang tersusun. Dana RM80.000.00 yang disumbangkan oleh seorang individu yang meninggalkan wasiat mewakafkan tabungannya di bank  menjadi pemangkin utama memulakan pembangunan.

Rekabentuk surau diilhamkan oleh Tn Hj Abdul Rahman bin Hj Ahmad, mantan Imam satu surau manakala firma arkitek yang mengilustrasikan reka bentuknya dalam plan adalah ‘OMARSHAMAKITEK’. Dana pembangunan surau ini diperolehi daripada sumbangan derma penduduk setempat dan orang ramai. Pembinaan surau baru dengan rasminya  telah dimulakan pada tahun 1998.


Fasa pertama pembangunan adalah membina ruang utama solat berjemaah, diikuti dengan fasa kedua pembinaan ruang serambi dan seterusnya fasa ketiga pembinaan ruang solat dan pusat kemudahan tambahan dua aras.

Setelah surau fasa satu disempurnakan, Tn Hj Ikhsan bin Kayat, iaitu salah seorang AJK  surau pada ketika itu telah mencadangkan agar nama surau ditukar kepada Surau Darus Salam. Pada masa ini surau tersebut boleh menampung keperluan  sehingga 300 orang jemaah. Individu yang banyak mengukir jasa memantau pembinaan dan pembangunan surau adalah Tn Haji Abdul Rahman @ Marjumin bin Ahmad, Imam Surau Darus Salam. Sekalung penghargaan wajar diberikan kepada beliau sebagai mengenang jasa yang sangat besar sehingga terbinanya bangunan surau yang tersergam indah.

Pada tahun 2002, Surau Darus Salam telah diberi kelulusan untuk mengadakan Solat Jumaat oleh Jabatan Agama Islam Selangor. Mulai tarikh tersebut Surau Darus Salam dikenali sebagai Surau Berjumaat. Apabila surau ini dinaiktarafkan sebagai Surau Berjumaat,  kedudukan kewangan menjadi lebih stabil hasil kutipan tabung jumaat. Pelbagai aktiviti keagamaan dapat dijalankan dan proses pembangunan surau yang lebih lengkap dapat diusahakan. 

Sebagai Surau Berjumaat, dalam kalangan orang Puchong, Surau Darus Salam menjadi ikon sebagai peneraju tempat berjumaat yang berkelengkapan penghawa dingin sepenuhnya. Justeru itu, surau ini terus menjadi perhatian para jemaah bersolat jumaat di Surau Darus Salam.

Dalam tempoh 2002 - 2008, proses pembinaan untuk melebar dan meluaskan surau dijalankan secara berperingkat-peringkat. Pengerusi surau pada masa tersebut adalah Tn Hj Ikhsan bin Kayat dan setiausahanya En. Mohd Musleh Yunos menjadi penggerak utama proses naik taraf surau menjadi masjid. Dalam tempoh tersebut  pihak surau telah berulangkali memanjangkan permohonan kelulusan kepada pihak MAIS dan  JAIS untuk menaik taraf surau kepada masjid.

Pada 24 November 2009, Mesyuarat Jawatankuasa Kariah Majlis Agama Islam Selangor telah bersetuju meluluskan permohonan naik taraf surau kepada masjid berkuatkuasa 1 Disember 2009. Kelulusan tersebut menjadi satu titik tolak yang sangat penting kepada seluruh ahli kariah. Sebagai sebuah masjid yang berdaftar, pelbagai program dan aktiviti dapat dilaksanakan sejajar dengan peraturan dan enakmen MAIS.

Individu yang perlu dinukilkan dalam menunjangi proses kelulusan naik taraf masjid adalah Ketua Kampung Batu 14 Puchong iaitu Tn Haji Mohd Sharif Bin Mohd Iskandar. Sebagai penasihat, beliau banyak memberi bimbingan dan bertungkus lumus meyakinkan pihak pengurusan MAIS dan JAIS untuk melayakkan Masjid Darussalam mendapat taraf tersebut.

Semoga jasa mereka sejak dari tahun 70an sehingga sekarang mendapat ganjaran yang sebanyak-banyaknya daripada Allah SWT di dunia dan akhirat.