Alhamdulillah ia merupakan tahun terbanyak binatang korban disembelih di masjid ini di mana pada tahun-tahun sebelumnya, jumlah lembu korban adalah dalam lingkungan 7 ke 8 ekor. Inisiatif pihak masjid untuk memperkenalkan Skim Ansuran Korban yang bermula pada bulan November 2015 juga membuahkan hasil kerana sebanyak 16 peserta telah menyertai skim tersebut. Baki peserta sebanyak 30 orang pula telah menjelaskan bayaran selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh akhir.
Pada tahun ini juga, pembahagian kupon secara teratur telah dibuat. Ketua-ketua lorong telah dilantik untuk memastikan kupon daging korban sampai ke tangan ahli kariah. Sebanyak 1.2 tan daging lembu dan kambing telah diagihkan pada hari tersebut yang meliputi Kg Pasir Baharu, Perumahan PKNS, Taman Puchong Hartamas, Taman Puchong Utama 3, Pangsapuri Beringin dan lain-lain.
Malam sebelum itu pula, sukarelawan lelaki yang diketuai oleh Tuan Nazir, En Musleh telah memasak lauk daging masak kicap dan daging kari. Sukarelawan wanita pada sebelah paginya pula telah memasak sup daging di mana semua menu ini telah dimasak untuk jamuan makan tengah hari jemaah yang hadir ke masjid pada hari tersebut. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua sukarelawan yang terlibat yang bekerjasama menjayakan ibadah ini walaupun hujan turun mencurah-curah di awal pagi.
Semoga ibadah korban yang dilakukan oleh setiap peserta diterima oleh Allah SWT dan ukhuwah yang terjalin bertambah erat. Insha Allah.
Gambar dua hari sebelum Hari Raya Aidil Adha. Gotong-royong membersihkan kawasan dan pemasangan khemah daripada MPSJ
Seekor lembu sumbangan Kerajaan Negeri telah disembelih sehari sebelum untuk jamuan.
P/S Tiada gambar pada 12 September kerana semua sibuk sehingga terlupa mengambil gambar :)