Pengumuman !
Jumaat, 24 Ogos 2018
MESYUARAT AGUNG KHAS
Semua Ahli Kariah Berdaftar dijemput hadir. Tunaikanlah kewajipan anda untuk mencalon dan memilih pegawai dan ahli jawatankuasa yang layak menguruskan masjid ini.
Khamis, 23 Ogos 2018
HARI RAYA AIDIL ADHA 2018
Pada tahun ini sebanyak 12 ekor lembu dan 5 ekor kambing telah dikorbankan pada 10 Zulhijjah 1439H. Gotong-royong bermula sejak jam 9.30 pagi dan berjaya diselesaikan sebelum Solat Zohor. Pihak masjid telah menyediakan sarapan pagi dan makan tengah hari berlaukkan daging ayam dan lembu kepada semua sukarelawan.
Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua ahli kariah dan warga asing yang bermastautin di sini yang telah bergotong-royong menjayakan majlis. Sebanyak 458kg daging telah berjaya diedarkan kepada ahli kariah dan para asnaf sebelum 2:30 petang. Tukang sembelih yang bertugas pada tahun ini adalah Tn Nazir, Imam Azrul dan Bilal Amirul. Peserta yang boleh menyembelih korban sendiri juga diberi peluang untuk menyembelih binatang mereka.
Semoga Allah SWT menerima ibadah korban para peserta dan tidak lupa jariah berupa tenaga kerja yang diberikan oleh para sukarelawan sekalian. Semoga bertemu lagi di tahun hadapan. Insha Allah.
Lembu dihantar pada tengah malam 22hb. Agak agresif juga. Jenuh untuk menurunkannya dari lori
Hj Osman dan saudara Rusli sedang mengira daging
Wak Danuri mengambil peluang mengapak tulang lembu
Bahagian peha yang sedang dilapah
Suasana di khemah lapah & agihan daging korban
Tetamu wanita di Kafe Darul Hikmah
Datuk Asrar (berdiri sebelah kanan sekali) orang kuat majlis.
Kambing biri-biri baru selesai disembelih oleh Imam Azrul
Melapah kulit di bahagian belakang masjid
Bilal Amirul sedang menyembelih lembu korban. Riak muka yang syahdu dari adik di kiri dan kanan :)
Sembelihan yang sempurna dilakukan oleh Ustaz Mued yang merupakan peserta korban pada tahun ini
Pn Zaini (Ketua Muslimat) dan Pn Norfaizah antara orang terakhir meninggalkan masjid. Sebelum balik kita cuci periuk dulu :)
Ahad, 12 Ogos 2018
PENDAFTARAN AHLI KARIAH MASJID DARUSSALAM
Merujuk kepada Mesyuarat Agung Khas Pemilihan dan Pencalonan Pegawai Masjid & Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid yang akan diadakan pada bulan hadapan, pihak pengurusan Masjid Darussalam ingin mewar-warkan pembukaan pendaftaran ahli kariah kepada semua. Pendaftaran ini sebenarnya terbuka sepanjang tahun bagi ahli kariah yang masih belum mendaftar. Pendaftaran adalah berdasarkan GARIS PANDUAN PENDAFTARAN AHLI KARIAH MASJID DAN SURAU NEGERI SELANGOR yang dikeluarkan pada 16 Julai 2018 oleh Majlis Agama Islam Negeri Selangor. Matlamat utama garis panduan ini adalah untuk:
1. Memastikan proses bancian dan pendaftaran daftar ahli kariah yang bermastautin atau bermukim
dalam kariah masjid dan surau dapat dikemaskini sebagaimana kehendak peraturan 10(i), 18(l), 20(k), 30(1)(k), 31(i) dan 36(k) Peraturan-peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.
2. Mendaftarkan ahli kariah secara teratur dan sitematik.
3. Menjadi rujukan dalam urusan penentuan status ahli kariah dalam Mesyuarat Agung Khas Pencalonan dan Pemilihan bagi anggota Jawatankuasa Kariah atau Jawatankuasa Surau
SYARAT-SYARAT AHLI KARIAH YANG LAYAK BERDAFTAR
Pendaftaran ahli kariah Masjid / Surau dilaksanakan bagi memenuhi kehendak Peraturan - Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017. Bagi tujuan pendaftaran ahli kariah masjid dan surau, syarat-syarat kelayakan untuk didaftarkan sebagai ahli kariah adalah seperti berikut:
1. Warganegara Malaysia.
2. Berumur 18 tahun dan ke atas bagi lelaki dan perempuan.
3. Tinggal tetap bermukim dan bermastautin di dalam kariah masjid atau surau sekurang-kurangnya tiga (3) bulan.
4. Berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
5. Solat berjemaah di masjid atau surau dalam kariah;
6. Membayar zakat fitrah dalam kariah;
7. Menunaikan solat hari raya;
8. Solat Jumaat dalam kariah masjid;
9. Ahli kariah surau juga adalah ahli kariah masjid yang di bawah pentadbiran masjid berkenaan.
Borang pendaftaran seperti di bawah boleh didapati di masjid. Sila pastikan borang telah lengkap diisi dan disertakan dengan salinan kad pengenalan kepada pegawai masjid
Langgan:
Catatan (Atom)