Pengumuman !

Selamat Datang Ke Laman Web Masjid Darussalam Puchong. #Untuk memberi sumbangan kepada Masjid Darussalam Puchong boleh masukkan ke No Akaun Bank Al Rajhi 12700 1881 4705 77. Sila SMS/maklumkan kpd Tuan Nazir () diatas apa-apa sumbangan yang dibuat untuk tujuan pengurusan.

Rabu, 10 Oktober 2018

MAJLIS BERKHATAN PERDANA











Dengan sukacitanya, pihak pengurusan Masjid Darussalam ingin menjemput keluarga yang mempunyai anak lelaki kecil atau remaja yang belum berkhatan untuk bersama-sama memeriahkan Majlis Khatan Perdana yang akan diadakan pada 24 dan 25 November 2018.

Program ini dijalankan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor Cawangan Puchong. Ia terbuka kepada semua terutamanya di kariah Masjid Darussalam dan kawasan sekitarnya. Proses khatan akan dikendalikan oleh beberapa orang tok mudim yang mempunyai pengalaman lebih daripada 10 tahun.

Untuk 40 peserta awal, yuran yang sangat minima dikenakan iaitu sebanyak RM30.00 sahaja manakala peserta yang ke-41 dan ke atas adalah sebanyak RM100.00. Keluarga asnaf pula tidak dikenakan sebarang yuran. Secara tidak langsung pihak masjid berharap ia dapat mengurangkan beban keluarga yang mempunyai anak untuk dikhatankan kerana kosnya agak tinggi iaitu dari RM150 ke RM300 jika dilakukan di klinik swasta.

Borang pendaftaran boleh didapati di Masjid Darussalam. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 7 November 2018.

Isnin, 10 September 2018

KEPUTUSAN MESYUARAT AGUNG KHAS PEMILIHAN 2018

Mesyuarat Agung Khas Pemilihan Pegawai dan AJK Masjid Darussalam Sesi 2019 – 2021 telah berjaya dilaksanakan pada 8 September yang lalu. Lima orang pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Petaling yang diketuai oleh Ustaz Muhamad Nurhamin telah mengelolakan perjalanan mesyuarat.

Sebanyak 75 orang ahli kariah berdaftar telah hadir mesyuarat dan layak mencalon serta  mengundi. Korum mesyuarat adalah mencukupi dan menepati enakmen yang ditetapkan oleh MAIS.



Dari kiri: Imam Azrul, Tn Nazir Musleh, Ustaz Nurhamin (JAIS), Ustaz Afiff (JAIS), En Mazlan






Tahniah diucapkan kepada Pegawai Masjid yang dicalonkan serta Ahli Jawatankuasa yang telah dipilih oleh ahli kariah sekalian. Untuk makluman, calon pegawai masjid yang terdiri daripada Nazir, Imam, Bilal dan Siak akan dipanggil oleh pihak JAIS dalam masa terdekat untuk ditemuduga. Keputusan mesyuarat adalah seperti berikut:



Jumaat, 24 Ogos 2018

MESYUARAT AGUNG KHAS








Semua Ahli Kariah Berdaftar dijemput hadir. Tunaikanlah kewajipan anda untuk mencalon dan memilih pegawai dan ahli jawatankuasa yang layak menguruskan masjid ini.

Khamis, 23 Ogos 2018

HARI RAYA AIDIL ADHA 2018

Pada tahun ini sebanyak 12 ekor lembu dan 5 ekor kambing telah dikorbankan pada 10 Zulhijjah 1439H. Gotong-royong bermula sejak jam 9.30 pagi dan berjaya diselesaikan sebelum Solat Zohor. Pihak masjid telah menyediakan sarapan pagi dan makan tengah hari berlaukkan daging ayam dan lembu kepada semua sukarelawan.

Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua ahli kariah dan warga asing yang bermastautin di sini yang telah bergotong-royong menjayakan majlis. Sebanyak 458kg daging telah berjaya diedarkan kepada ahli kariah dan para asnaf sebelum 2:30 petang. Tukang sembelih yang bertugas pada tahun ini adalah Tn Nazir, Imam Azrul dan Bilal Amirul. Peserta yang boleh menyembelih korban sendiri juga diberi peluang untuk menyembelih binatang mereka.

Semoga Allah SWT menerima ibadah korban para peserta dan tidak lupa jariah berupa tenaga kerja yang diberikan oleh para sukarelawan sekalian. Semoga bertemu lagi di tahun hadapan. Insha Allah.



 Lembu dihantar pada tengah malam 22hb. Agak agresif juga. Jenuh untuk menurunkannya dari lori

 Hj Osman dan saudara Rusli sedang mengira daging

 Wak Danuri mengambil peluang mengapak tulang lembu

 Bahagian peha yang sedang dilapah


 Suasana di khemah lapah & agihan daging korban

 Tetamu wanita di Kafe Darul Hikmah


 Datuk Asrar (berdiri sebelah kanan sekali) orang kuat majlis. 

 Kambing biri-biri baru selesai disembelih oleh Imam Azrul

 Melapah kulit di bahagian belakang masjid

 Bilal Amirul sedang menyembelih lembu korban. Riak muka yang syahdu dari adik di kiri dan kanan :)

 Sembelihan yang sempurna dilakukan oleh Ustaz Mued yang merupakan peserta korban pada tahun ini

 Pn Zaini (Ketua Muslimat) dan Pn Norfaizah antara orang terakhir meninggalkan masjid. Sebelum balik kita cuci periuk dulu :)

Ahad, 12 Ogos 2018

PENDAFTARAN AHLI KARIAH MASJID DARUSSALAM

Merujuk kepada Mesyuarat Agung Khas Pemilihan dan Pencalonan Pegawai Masjid & Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid yang akan diadakan pada bulan hadapan, pihak pengurusan Masjid Darussalam ingin mewar-warkan pembukaan pendaftaran ahli kariah kepada semua. Pendaftaran ini sebenarnya terbuka sepanjang tahun bagi ahli kariah yang masih belum mendaftar. Pendaftaran adalah berdasarkan GARIS PANDUAN PENDAFTARAN AHLI KARIAH MASJID DAN SURAU NEGERI SELANGOR yang dikeluarkan pada 16 Julai 2018 oleh Majlis Agama Islam Negeri Selangor. Matlamat utama garis panduan ini adalah untuk:

1. Memastikan proses bancian dan pendaftaran daftar ahli kariah yang bermastautin atau bermukim
dalam kariah masjid dan surau dapat dikemaskini  sebagaimana kehendak peraturan 10(i), 18(l), 20(k), 30(1)(k), 31(i) dan 36(k) Peraturan-peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

2. Mendaftarkan ahli kariah secara teratur dan sitematik.

3. Menjadi rujukan dalam urusan penentuan status ahli kariah dalam Mesyuarat Agung Khas Pencalonan dan Pemilihan bagi anggota Jawatankuasa Kariah atau Jawatankuasa Surau


SYARAT-SYARAT AHLI KARIAH YANG LAYAK BERDAFTAR

Pendaftaran ahli kariah Masjid / Surau dilaksanakan bagi memenuhi kehendak Peraturan - Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017. Bagi tujuan pendaftaran ahli kariah masjid dan surau, syarat-syarat kelayakan untuk didaftarkan sebagai ahli kariah adalah seperti berikut:

1. Warganegara Malaysia.

2. Berumur 18 tahun dan ke atas bagi lelaki dan perempuan.

3. Tinggal tetap bermukim dan bermastautin di dalam kariah masjid atau surau sekurang-kurangnya tiga (3) bulan.

4. Berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

5. Solat berjemaah di masjid atau surau dalam kariah;

6. Membayar zakat fitrah dalam kariah;

7. Menunaikan solat hari raya;

8. Solat Jumaat dalam kariah masjid;

9. Ahli kariah surau juga adalah ahli kariah masjid yang di bawah pentadbiran masjid berkenaan.

Borang pendaftaran seperti di bawah boleh didapati di masjid. Sila pastikan borang telah lengkap diisi dan disertakan dengan salinan kad pengenalan kepada pegawai masjid

Ahad, 29 Julai 2018

PROGRAM INFAQ BARANGAN DAPUR UNTUK FAKIR MISKIN

Program ini telah diperkenalkan pada bulan Oktober 2016. Banyak sumbangan barangan dapur seperti beras, minyak, gula, garam dan sebagainya diterima daripada para penderma. Golongan sasar untuk mendapat barangan dapur ini adalah asnaf fakir dan miskin yang terdapat di dalam kariah Masjid Darussalam. Setakat bulan Disember 2016, sebanyak 6 orang fakir dan 9 orang miskin direkodkan oleh Lembaga Zakat Selangor.

Selain itu, atas permintaan ahli kariah, pihak masjid juga telah memanjangkan lagi sumbangan ini kepada keluarga berpendapatan rendah. Walaupun identiti para penderma tidak diketahui, pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka. Semoga Allah SWT membalas berkali-kali ganda atas amal kebaikan yang telah mereka kerjakan.

Untuk makluman, Biro Kebajikan yang diketuai oleh En Abd Aziz Othman, En Fauzi Ibrahim, Ketua Amil Kariah (En Najib Hj Norawi) dan amil akan meluangkan masa sekurang-kurangnya sehari sebulan untuk mengagihkan barangan dapur kepada keluarga yang layak. Sedikit sebanyak ianya dapat mengurangkan beban mereka untuk membeli barangan dapur yang agak mahal sekarang ini.






Selasa, 5 Jun 2018

PROGRAM MUBALIGH HIJRAH

Masjid Darussalam telah bekerjasama dengan NGO Mosquecare Malaysia dan Madrasah Mualimin Muhammadiyah Yogyajakarta untuk menjadi salah satu lokasi persinggahan untuk pelajarnya dalam Program Mubaligh Hijrah Indonesia-Malaysia-Thailand 2018. Ini merupakan kali kedua program dijalankan di Masjid Darussalam di mana program pertama yang dijalankan pada tahun 2017 mendapat respon yang cukup baik daripada para jemaah dan ahli kariah.

Program Mubaligh Hijrah Nasional & Internasional adalah merupakan kegiatan tahunan yang diadakan oleh Madrasah Muallimin dan Muallimaat Muhammadiyah Yogyakarta. Para pelajarnya dari tingkatan 5 dikirim ke pelbagai sasaran dakwah untuk melakukan tugas sebagai mubaligh di masyarakat. Tugas-tugas yang dilakukan seperti
Pengajaran,
Pembinaan anak-anak sekitar tempat kegiatan,
Mengajar transliterasi Al-Quran, dan
Ikut menyemarakkan kegiatan Ramadhan di tempat bertugas

Di Masjid Darussalam, dua orang pelajarnya telah mengajar kelas harfun iaitu kelas pemahaman Al-Quran secara makna selama 2 minggu dalam bulan Ramadan. Dua kelas telah ditubuhkan masing-masing untuk kelas lelaki dewasa dan kelas wanita dan alhamdulillah ianya mendapat penyertaan yang baik dari para peserta.

Dengan kemudahan dan fasiliti yang lengkap, Masjid Darussalam telah dipilih sebagai lokasi akhir berkumpul semua pelajar-pelajar Madarasah Mualimin daripada seluruh Malaysia dan Thailand. Dianggarkan seramai 65 orang pelajar telah berada di Masjid Darussalam selama 2 hari sebelum bertolak balik ke Yogjakarta, Indonesia.







Rabu, 30 Mei 2018

MAJLIS KHATAM QURAN PERDANA (WANITA)

Pada 27 Mei 2018, Masjid Darussalam dengan kerjasama NGO Jalinan Kasih Wanita Puchong telah mengadakan Program Khatam Quran yang dihadiri oleh jemaah wanita masjid-masjid sekitar Puchong. Lebih daripada 150 peserta yang hadir pada hari tersebut.

Antara program yang telah dijalankan adalah Solat Sunat Tasbih yang dipimpin oleh Ustazah Shahidatul Akma Mohd Shaari, Khatam Quran, Tazkirah Ramadan oleh Ustazah Noor Zarina Mohd Azhar dan Ceramah Khas oleh Ustazah Siti Zawiah Hassan. Majlis dimulakan tepat pada jam 8:30 pagi dan berakhir sebelum solat Zohor.

Terima kasih diucapkan kepada Ketua Wanita, Pn Zaini Alias, Pn Norfaizah Mohd Salim, sukarelawan dan NGO Jalinan Kasih yang berjaya melaksanakan majlis dengan cemerlang.

 Tn Nazir memberikan kata-kata aluan

 Khatam Quran sedang berlangsung



 Jemaah wanita sedang khusyuk mendengar penerangan dari Pengerusi NGO Jalinan Kasih
 Petugas kaunter pendaftaran mengambil gambar kenang-kenangan 



Tazkirah Ramadan

Cenderahati untuk para peserta

 Bunga telur

Ahad, 13 Mei 2018

BENGKEL CEMERLANG PUASA

Sempena bulan Ramadan yang akan menjelang tiba tidak berapa lama lagi, Biro Pendidikan dan Dakwah Masjid Darussalam telah mengadakan Bengkel Cemerlang Puasa untuk anak-anak ahli kariah. Bertempat di ruang utama Dewan Solat Masjid Darussalam, bengkel tersebut yang diketuai oleh Imam Azrul dimulakan pada jam 8:30 pagi dan berakhir pada jam 12:00 tengah hari. Seramai 25 orang peserta kanak-kanak dan remaja lelaki dan perempuan menghadiri bengkel tersebut.

Antara perkara yang dilaksanakan sepanjang bengkel adalah mengulangkaji niat puasa, rukun puasa, syarat wajib puasa, syarat sah puasa, perkara yang membatalkan puasa, perkara sunat dan makruh semasa berpuasa dan sesi soal jawab. Para peserta telah dibahagikan kepada 5 kumpulan dan perlu berbincang sesama sendiri tajuk puasa yang dibahagi secara rawak. Untuk menghangatkan lagi bengkel yang dijalankan, peserta diberi hadiah jika dapat menjawab dengan betul soalan-soalan yang ditanya oleh Tuan Imam.



Setiap kumpulan perlu membentangkan tajuk puasa






Menjamu selera menggunakan talam sebelum bersurai